eczema skin concerns

Perawatan Eczema

Bagaimana menangani ekzema? – Boleh ditangani dengan menggunakan pelembab?

– Ekzema atau nama lainnya atopic dermatitis merupakan suatu kondisi radang kulit yang agak lazim terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor.
– Kondisi kulit seperti ekzema kerap terjadi di kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Ini biasanya diikuti dengan gejala seperti lelah dan demam yang disebabkan oleh alahan.
– Meskipun punca sebenar kondisi kulit ini tidak diketahui sepenuhnya, terdapat beberapa faktor seperti faktor genetik dan persekitaran yang menyumbang kepada terjadinya eczema.
– Kebanyakan pesakit ekzema akan mengalami keadaan kulit yang kemerah-merahan, kering, gatal-gatal dan terkadang bersisik atau merekah.
– Kebiasaannya ekzema dirawat dengan menggunakan kombinasi ejen anti keradangan seperti steroid, krim ekzema, pelegaan kegatalan dan antibiotik (sekiranya ada jangkitan). Bertanya dengan doktor anda untuk mendapatkan khidmat konsultasi yang terbaik untuk menangani kondisi kulit anda.
– Anda hanya perlu memberikan lebih perhatian dan penjagaan untuk menikmati hidup yang bebas dari ekzema!

Apakah itu Eczema?

Ekzema, atau nama lainnya atopic dermatitis, ialah satu keadaan radang pada kulit, di mana ciri-ciri lazimnya adalah terjadi kemerahan, kegatalan serta ruam yang bersisik pada bahagian kulit badan tertentu. Walau bagaimanapun, ia sangat lazim dan biasa terjadi – 1 daripada 5 kanak kanak menghidapi ekzema manakala antara 2 dan 5 orang daripada 100 orang dewasa turut berdepan dengan isu kondisi kulit ini. Ekzema kerap terjadi sewaktu dalam fasa kanak kanak, dan kemudiannya hilang atau muncul kembali apabila meningkat dewasa. Kondisi kulit seperti ekzema ini turut terjadi pada golongan lelaki dan wanita.

Mereka yang menghidap penyakit lelah dan demam disebabkan alahan mempunyai risiko tinggi menghidap ekzema – semua kondisi ini dikenali dengan terma “atopic”. Kira kira 1 daripada 3 orang kanak kanak yang mempunyai ekzema kebiasaannya akan turut mengalami sakit lelah atau demam yang berpunca daripada alahan.

Setiap orang mempunyai tahap keterukan ekzema yang berbeza – untuk sesetengah orang ianya mungkin tidak terlalu mendatangkan kesan dan menganggu rutin seharian mereka, manakala bagi sesetengah yang lain pula, situasi kulit gatal-gatal yang terlalu kerap terjadi dan ditambah pula dengan keadaan kulit yang semakin teruk, mendatangkan impak atau kesan yang besar terhadap kualiti kehidupan mereka.

Kerap kali simptom ekzema ini datang pergi dan kembali terjadi semasa kulit mereka mengalami keradangan; kesemuanya ini dipicu oleh beberapa faktor seperti pemakanan, penggunaan produk yang mengandungi bahan kimia tertentu, atau mereka yang mengalami tekanan emosi. Kadang kala, ekzema pun boleh saja terjadi tanpa sebarang sebab.

Apakah penyebab eczema?

Setakat ini, tidak ada seorang pun yang memahami sepenuhnya penyebab utama yang memicu kepada terjadinya kondisi kulit ekzema. Apa yang dapat difahami , terdapat pelbagai kombinasi faktor yang menyebabkannya.

Perlu diketahui, mereka yang menghidap ekzema selalunya mengalami kerosakan pada penghadang kulit, diikuti dengan keradangan yang kerap kali muncul semula berserta dengan tindakbalas alergi atau alahan. Gabungan faktor persekitaran serta penggunaan sabun, bahan pencuci pada kulit atau jangkitan kuman/bakteria dan virus tertentu turut menghasilkan ciri-ciri dan simptom gejala kulit ini.

Selain daripada itu, ekzema juga terjadi berdasarkan faktor keturunan; genetik yang menentukan pembentukan protein di salah satu lapisan luar kulit yang lazimnya diubah bagi mereka yang mengalami ekzema. Keadaan ini menyebabkan penghadang kulit tidak berfungsi dengan baik dan memudahkan sebarang bahan merengsa menyerap ke dalam kulit, menjadikan kulit anda gatal-gatal dan beradang sekaligus meningkatkan risiko kulit lebih mudah dijangkiti kuman. Jika ibu bapa anda mempunyai genetik seperti ini, kebarangkalian anda mewarisinya juga amat tinggi.

Adakah bahan bahan atau situasi tertentu boleh menyebabkan berlakunya keradangan?

Ya, ianya boleh dibahagikan kepada dua kumpulan – mereka yang sememangnya mempunyai ekzema dan golongan yang terkesan disebabkan faktor persekitaran:

  1. Sebab peribadi:
    1. Penyakit– apabila anda mengalami demam atau penyakit lain, terdapat kemungkinan untuk ada mengalami keradangan kulit.
    2. Jangkitan kulit – contohnya, jangkitan bakteria yang dikenali sebagai jangkitan Staphylococcus atau Herpes.
    3. Kulit kering
    4. Stres / tekanan
    5. Berpeluh. Contohnya : semasa bersenam
  1. Persekitaran:
    1. Udara panas dan lembab
    2. Habuk
    3. Binatang peliharaan
    4. Pakaian
    5. Sabun, bahan pencuci, bahan kimia lain
    6. Makanan

CIRI-CIRI DAN TANDA-TANDA EKZEMA

Tanda utama ekzema ialah ruam yang gatal. Tanda tanda ini (simptom yang kelihatan ketara) termasuklah ruam yang merah, kering dan kebiasaanya bersisik, diikuti dengan kesan calar dan luka-luka disebabkan dari menggaru. Ruam gatal boleh mempengaruhi mana-mana bahagian badan, terutamanya pelipat di bahagian siku, lutut, pergelangan tangan serta leher. Sesetengah individu juga mengalami ruam berbentuk duit syiling pada anggota badan manakala sesetengah yang lain pula mengalami benjolan yang terbentuk di kawasan folikel rambut mereka.

Tabiat menggaru kulit berulang kali boleh menyebabkan kulit menebal. Pada peringkat permulaan keradangan, tanda tanda lain seperti kelepuhan pada kulit kerap terjadi. Kebiasaannya, apabila kulit terjangkit, ianya akan turut bengkak dan menyebabkan kenaikan suhu badan. Selain itu, perubahan pada warna kulit juga boleh terjadi, sama ada menjadi lebih cerah atau gelap.

JIKA SAYA ATAU ANAK SAYA MENGHIDAP EKZEMA, APAKAH YANG PERLU SAYA LAKUKAN?

Pertama sekali, adalah dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat daripada doktor. Anda mungkin bertanya “Bagamana saya boleh menyembuhkan ekzema?”. Malangnya, sehingga ke hari ini, belum ada penawar yang mampu mengubati ekzema, mahupun sebarang rawatan yang boleh menyelesaikan semua isu berkaitan ekzema. Mengesan punca utama kondisi dan menyelenggaranya dengan baik memerlukan pendekatan yang holistik, serta sokongan moral yang berterusan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Jika anda atau anak anda dikenalpasti menghidap ekzema, terdapat rawatan khusus yang perlu diikuti, ianya bermula dengan mengawal keradangan (kebiasaannya dengan menggunakan krim steroid), melembap dan merawat sebarang infeksi jika ada. Krim ekzema seperti ini boleh didapati dengan preskripsi daripada doktor (selalunya pengamal perubatan am atau doktor keluarga boleh memberikan rawatan untuk kes yang sederhana, manakala untuk kes yang lebih teruk memerlukan anda berjumpa dengan pakar kulit).

Ianya juga sangat penting untuk menangani rasa gatal-gatal, ini kerana tabiat menggaru hanya akan menjadikan gatal-gatal semakin teruk, yang menyebabkan kerosakan pada kulit, manakala kulit yang tercalar dan luka menyebabkan kulit menebal dan menjadikannya kelihatan janggal. Sesetengah doktor mungkin tidak biasa dengan rawatan yang berkaitan dengan kegatalan, untuk kes seperti ini anda bolehlah berjumpa dengan pakar kulit, ahli farmasi atau melalui penyelidikan anda sendiri.

Ekzema tidak boleh dielakkan, namun begitu penggunaan krim ekzema secara konsisten boleh membantu menguatkan penghadang kulit dan mengurangkan keradangan. Sesetengah mereka yang lain mencuba inisiatif lain seperti menyingkirkan sesetengah makanan daripada diet seharian mereka: jika terdapat pemicu yang diketahui, ini perlu dielakkan, akan tetapi sesetengah ahli nutrisi turut menasihatkan untuk menjauhi sesetengah makanan; ini bagaimanapun masih berada dalam proses dalam penyelidikan. Sebahagian doktor ada yang tidak bersependapat tentang pendekatan seperti ini, sebelum adanya kajian yang lebih terperinci tentangnya.

eczema tests and diagnosis

Perawatan Ekzema

  1. Kebanyakan rawatan (kecuali dalam beberapa kes yang sangat serius) adalah dalam bentuk topikal atau dalam erti lain, ianya dipakai/sapu terus ke bahagian kulit yang terjejas.
  2. Terdapat dua preskripsi ubatan yang digunakan di kebanyakan negara iaitu steroid dan calcineurin inhibitor.
    1. Steroid mempunyai tahap kekuatan yang berbeza, doktor anda akan menasihati anda tentang produk yang sesuai serta cara penggunaannya.
    2. Ramai risau atau khuatir tentang kesan sampingan steroid seperti kulit yang menipis. Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini kebiasaannya terjadi disebabkan penggunaan yang salah, contohnya, penggunaan kerap dan penggunaan dalam jangka waktu yang terlalu panjang. Gunakannya dengan bijak dan cara yang betul, ia mendatangkan banyak kebaikan daripada keburukan.
    3. Jenis steroid yang agak lemah fungsinya digunakan pada kulit yang tipis/bahagian sensitif pada kulit seperti muka.
    4. Calcineurin inhibitor mempunyai kesan sampingan yang sedikit, namun biasanya, ia kurang berkesan jika dibandingkan dengan steroid yang lebih kuat. Doktor anda akan menasihatkan apa yang terbaik mengikut kondisi kulit anda. Ini kerana, setiap individu menghadapi kondisi kulit atau jenis ekzema yang berlainan.
  3. Kekeringan kulit dapat diatasi dengan pelembab, namun begitu, tidak semua pelembab adalah sama.
    1. Cuba gunakan krim ekzema yang mengandungi bahan-bahan yang boleh merengsakan kulit paling minimum – Malangnya, sebahagian produk “organik” mengandungi ektrak mentah tumbuh-tumbuhan yang berpotensi untuk menjadikan kondisi kulit ekzema menjadi lebih rengsa.
    2. Sebaiknya, pilihlah krim yang lebih digemari / digunakan secara kerap; ianya perlu dipakai beberapa kali sehari. Pemakaian sekali sehari tidak mencukupi untuk mereka yang menghidap ekzema.
    3. Sesetengan pelembab mengandungi bahan-bahan seperti ceramide atau bahan filaggrin yang membantu memperbaiki penghadang kulit – ini merupakan pilihan yang paling sesuai.
    4. Elakkan krim yang berasaskan air yang boleh menjejaskan kulit dan menjadikan kondisi ekzema anda bertambah teruk.
  4. Kegatalan seringkali diabaikan tetapi amat penting untuk ditangani dengan baik. Lebih jarang anda menggaru, akan berkuranglah rasa gatal-gatal, secara tidak langsung, rawatan ekzema yang anda jalani akan menjadi lebih berkesan.
    1. Dos krim mentol yang rendah merupakan krim yang paling berkesan dalam melegakan kegatalan.
    2. Anti-histamine agak kurang berkesan untuk menangani kegatalan yang disebabkan ekzema.
    3. Losyen calamine perlu dielakkan kerana ia akan mengeringkan kulit.
    4. Pada waktu malam, kanak kanak disarankan untuk mengenakan sarung tangan bagi mengurangkan kerosakan kulit akibat dari perbuatan menggaru secara tidak sedar semasa mereka tidur.
  5. Antibiotik mungkin diperlukan jika berlaku sebarang jangkitan kuman pada kulit.
  6. Balutan kadangkala digunakan untuk mengelakkan perbuatan menggaru dan membantu dalam melembapkan kulit.
  7. Terapi cahaya UV berguna bagi sesetengah orang dewasa yang berekzema.
  8. Elakkan apa-apa saja yang boleh menjadi pencetus kepada keadaan ekzema yang lebih teruk
    1. Habuk dan bulu kecil kulit yang ditumpahkan oleh kucing dan anjing atau mana-mana binatang dengan bulu – bagi anda yang menghidap penyakit lelah, mengurangkan pendedahan beberapa faktor ini di rumah
    2. Alahan makanan – dapatkan nasihat diet pemakanan daripada mereka yang lebih arif atau profesional untuk memastikan bahan-bahan yang boleh mencetuskan alahan disingkirkan dari diet anda.
    3. Cuba elakkan menyentuh bahan-bahan kimia yang keras, sabun, dan bahan pencuci
    4. Gunakanlah pencuci pakaian yang tidak bersifat biologi, dan bilas pakaian anda dua kali sekiranya boleh.
    5. Elakkan daripada menggunakan sabun – sebaliknya, pilih sabun yang tidak berbuih yang sesuai untuk kulit sensitif.
    6. Pakai sarung tangan yang bukan diperbuat daripada getah dan bukan serbuk untuk melakukan kerja rumah.
    7. Berfikiran positif – tekanan atau stres merupakan pencetus yang amat lazim; mengelakkan daripada tekanan boleh membantu mereka yang menghidap ekzema untuk menanganinya dengan lebih baik selain sokongan moral daripada ahli keluarga, kawan-kawan atau pun rakan-rakan sekerja.
  9. Secara keseluruhannya, pastikan kulit anda sentiasa lembap dalam jangka masa panjang (ini dapat dilaksanakan dengan sapuan berterusan dan serta merta setiap kali terjadi keradangan yang disebabkan oleh ekzema)

APAKAH SITUASI JANGKA MASA PANJANG YANG PERLU SAYA KETAHUI?

Sementara penawar bagi ekzema belum ditemui, anda masih lagi boleh menjalani kehidupan seperti biasa. Ianya memerlukan perancangan dan penjagaan yang rapi dan dengan perawatan yang betul, ia tidak seharusnya menghentikan anda dari melakukan aktiviti yang anda sukai atau menjadi salah seorang individu yang aktif dalam masyarakat. Jangan sesekali biarkan sesiapapun mengatakan kepada anda sebaliknya!

Share this page